Isnin, 22 November 2010

Syarahan Perdana Syeikh Prof. Dr. Mohammad Said Ramadhan Al-Bouti


Datanglah beramai-ramai bagi memeriahkan lagi majlis ini...

PAKAT SEBARKAN

Sabtu, 20 November 2010

Tahlil - Pandangan Dr. Luqman (UM)


MAJORITI ulama dunia menerima tahlil sebagai amalan yang membolehkan pahala ibadat ini disedekahkan kepada orang yang telah meninggal dunia. 
Meskipun terdapat pandangan berbeza mendakwa tahlil sebagai bidaah (amalan ibadat sekarang yang tidak ada secara khusus dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW), ulama terkemuka menerima konsep tahlil. 
Pensyarah Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) yang juga merupakan Pengerusi, Persatuan Ulama’ Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Hj. Abdullah, berkata tahlil atau sebarang perkataan yang merujuk kepada kalimah 'tiada Tuhan melainkan Allah' dilakukan di kebanyakan dunia Islam. 
Katanya, tahlil berjemaah sudah sebati dalam masyarakat Islam negara ini, terutama apabila berlaku kematian, malah kini menjadi program rasmi peringkat negara untuk menyambut perayaan tertentu. 
“Sebenarnya ulama dunia seperti Mufti Besar Mesir, Sheikh Ali Gomaa, mengakui bahawa memang ada konsep tahlil dalam Islam. Bukan beliau saja, kebanyakan ulama lain mempunyai pandangan sama,” katanya. 
Beliau berkata, tahlil juga adalah aktiviti sosial bermanfaat kerana umat Islam berkumpul dan berzikir untuk mengingati Allah.
“Saya tidak nampak ada masalah dari segi hukum syarak. Mungkin perbezaan dari segi tempat seperti bertahlil di Malaysia dan Indonesia tidak sama dari segi cara. Perbezaan ini lebih kepada faktor budaya, tetapi prinsip amalan tetap sama,” katanya.
Dr Luqman berkata, prinsip tahlil ialah pahala ibadat ini disedekahkan kepada si mati dan ini juga adalah pandangan majoriti ulama. Katanya, ulama terkenal Arab Saudi, Sheikh Sayyid Muhammad Alawi, menyatakan bahawa orang yang meninggal dunia boleh mendapat manfaat daripada amalan soleh orang yang masih hidup, tetapi bentuk manfaat itu tidak diketahui.
“Terserah kepada Allah. Mungkin manfaat dalam bentuk pahala dan atau dosa diringankan. Prinsipnya adalah sampai kepada si mati,” katanya. 
Beliau tidak menafikan ada yang menganggap tahlil sebagai bidaah, tetapi jika dilihat dari sudut ini, ini bermakna banyak perkara yang dilakukan umat Islam sekarang adalah bidaah. 
“Kita tidak boleh menghukum setiap perkara yang Nabi Muhammad SAW tidak buat sebagai bidaah dan sesat,” katanya.  
Mengenai amalan mengadakan majlis tahlil pada hari Khamis malam Jumaat, katanya selain berasaskan kelebihan malam Jumaat, ia mempunyai kaitan dengan pada zaman dulu, Jumaat adalah hari cuti menyebabkan masyarakat memilih hari itu. 
Sepanjang Ramadan pula, katanya majlis tahlil semakin kerap diadakan kerana kelebihan beribadat sepanjang bulan ini mendapat pahala berlipat kali ganda. 
Tahlil arwah: 
Pertama: Amalan tahlil merupakan amalan yang baik dan berpahala kerana ia dipenuhi dengan zikir dan bacaan ayat-ayat al-Quran. Setiap huruf dan ayat al-Quran yang dibaca akan diberikan pahala oleh Allah sebagaimana sabda Baginda bermaksud: Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia akan mendapat satu kebaikan dan satu kebaikan digandakan sepuluh, aku tidak katakan bahawa ‘alif lam mim’ satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. (Riwayat Tirmizi)
Selain itu, Rasulullah bersabda bermaksud: Barang siapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah maka dituliskan baginya satu kebajikan yang berlipat ganda, dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari kiamat. (Riwayat Ahmad) 
Jadi pahala daripada amalan dan doa dalam tahlil akan sampai kepada si mati dan dapat memberi manfaat kepadanya. Dalam kitab Fatawa Syar'iyah karangan As-Syeikh Hasanain Makhluf, bekas Mufti Mesir, dinukilkan kata-kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah: “Bahawasanya mayat itu mendapat manfaat daripada seluruh ibadat badan seperti solat, puasa dan bacaan sebagaimana dapat manfaat daripada ibadat harta seperti sedekah dan seumpamanya.” Oleh itu kita boleh menghadiri majlis tahlil dan ia tidak dikatakan sebagai bidaah. 
Kedua: Menetapkan hari-hari tertentu untuk mengadakan tahlil seperti hari ketiga, ketujuh dan 100 adalah perbuatan bidaah yang tiada nas dalam al-Quran atau sunah, lebih-lebih lagi apabila ia diyakini mendapat ganjaran tertentu apabila dilakukan pada hari-hari tertentu. HUKUM mengadakan majlis tahlil adalah harus, asalkan tidak mengambil harta si-mati tanpa hak. Keluarga si-mati pula tidak dibebankan dengan bayaran yang tinggi. 
Sementara jiran tetangga boleh membantu keluarga si-mati dengan menyediakan makanan untuk tetamu yang majlis berkenaan. 
Mengenai hadis 'terputus amalan si-mati kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan' adalah benar. Bagaimanapun, ia tidak menafikan doa orang lain yang mendoakan kepada kesejahteraan roh si-mati, lebih-lebih apabila ia datang atas usaha anak atau keluarga si-mati. 
Dalam al-Quran sendiri Allah menyarankan agar kita berdoa kepada orang yang sudah kembali lebih awal daripada kita seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang-orang Islam yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa-dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam iman dan jangan Engkau jadikan kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan Rahmat-Mu.” (al-Hasyr:10).

Isnin, 25 Oktober 2010

Rahsia Simbol PEACE

Simbol ini berasal dari simbol syaitan yang diamalkan semasa upacara keagamaan Yahudi. Simbol ini telah digunakan oleh Yasser Arafat (Bekas Presiden Palestin), Richard Nixon (Bekas Presiden amerika) dan Winston Churchil (Bekas Presiden Amerika).

Lambang kedamaian pada tangan sebenarnya simbol gerakan Illuminati.Tanda “v” mempunyai pelbagai sejarah. V (tanda tangan) adalah tanda huruf Roman yang bermaksud nombor 5 dan Adam Weishaupt menggunakan simbol ini dalam gerakan rahsianya iaitu Illuminati (pertubuhan Yahudi). Ahli-ahli Illuminati akan menggunakan simbol ini sebagai tanda “Law of Fives” (Hukum Lima). 

 Di dalam tulisan Yahudi, huruf V (Van) bermaksud ‘Nail’ (Kuku). The Nail adalah salah satu tanda rahsia Syaitan yang digunakan dalam upacara penyembahan berhala. Syaitan ingin membiarkan kita tahu bahawa itu adalah tanda kegemarannya. Anton Lavey, pengasas Church of Satan (Gereja Syaitan), menggunakan simbol PEACE sebagai latar belakang mimbar upacara penyembahannya.Salah seorang penyelidik menegaskan, simbol PEACE adalah dari simbol kumpulan Yahudi yang anti Kristian (antiChrist). Mereka mengambil salib kristian dan mematahkannnya ke atas dan menerbalikkannya ke bawah. Tanda 3 palang yang menghala ke bawah membawa maksud ; Past (Palang kanan), Present (Palang tengah) dan Future (Palang kiri) 

Gambar sebelah kiri adalah simbol yang telah diubahsuai dan digunakan sekarang, gambar tengah adalah cabang asal 3 rukun gerakan syaitan atau kedamaian oleh syaitan dan gambar sebelah kanan adalah logo asal kumpulan Gereja Syaitan. Lihat gambar kecil berbentuk bunga di atas palang, ia adalah logo nazi.


Jumaat, 1 Oktober 2010

Pulangkan Wang Sumbangan Kerana Hasil Judi?


Oleh kerana web asyik down server kerana diserbu pelawat secara serentak. Saya sertakan artikel terbabit di sini.

Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama atau hukum. Saya tidak berhasrat menyentuh isu terbabit dari sudut politik kerana ia bukan bidang saya. Cuma jika, tindakan tersebut jika dijadikan ikutan, nanti kita akan dapat melihat kebanyakan orang miskin di Malaysia memulangkan wang bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri, kerajaan pusat dan syarikat. Ini kerana sebahagian pendapatan kerajaan negeri dan pusat juga adalah dari sumber haram seperti cukai pusat judi, pelaburan haram, riba, pusat hiburan, rumah urut ‘pelacuran' dan sebagainya. Justeru bantuan mungkin sahaja diambil dari wang haram tersebut.

DARI SUDUT HUKUM

Jika dilihat dari sudut hukum, jika tindakan warga emas tersebut dibuat atas dasar kononnya wang dipulang kerana ia tidak bersih dan haram, tindakan mereka adalah SALAH  lagi terkeliru dengan cakap-cakap orang yang tiada memahami hukum Islam. Ini kerana dari sudut hukum, faqir dan miskin HARUS menerima sebarang sumbangan yang diberikan oleh pihak kerajaan negeri, walaupun diketahui kerajaan negeri mempunyai sumber wang yang HARAM.

Fakta berikut perlu difahami:

1.  Wang kerajaan negeri Pulau Pinang ( dan lain-lain tentunya) adalah bercampur.

Para ulama telah membahaskan persoalan penerimaan sumbangan, derma atau menikmati juadah makanan dari individu yang mempunyai pendapatan bercampur antara halal dan haram. Majoriti ulama telah sepakat bahawa selagi mana harta si pemberi itu bercampur selagi itulah kita orang biasa boleh menerima hadiah, sumbangan, derma, menikmati makanan yang disediakan mereka.
Hal yang sama terpakai untuk sesebuah syarikat dan kerajaan, selagi sumber perolehan mereka bercampur, selagi itu HARUS untuk kita menerima gaji atau upah atau apa jua dari kantung mereka, selagi tugas dan cara kita memperolehinya adalah betul. Itu adalah hukum untuk orang biasa, maka jika penerima itu adalah warga yang memerlukan seperti faqir dan miskin, ia sudah tentu jauh lebih jelas KEHARUSANNYA. Malah terdapat dalil yang jelas berkenaan keharusan terbabit. Kes yang sama terpakai untuk kerajaan pusat yang menerima sumber pendapatan dari sumber judi, riba, arak, babi, rumah urut pelacuran dan sebagainya.  Selain itu, juga turut menerima sumber halal seperti hasil minyak, jualan komoditi dan sebagainya.

2.   Wang itu sendiri tidak najis atau haram pada zatnya.

Wang dan harta hanya dikira haram atau halal pada cara mendapatkannya dan membelanjankannya, ia dinamakan haram dari sudut hukmi bukan ‘hissi'. Ia tidak berpindah dari seorang kepada yang lain. Ia bukan seperti najis yag berpindah apabila disentuh oleh seeorang.

3.  Bagaimana jika benar-benar sumbangan dari terus dari kantung wang judi, riba dan rasuah?.

Jika keadaan itu berlaku, ia masih lagi HARUS DITERIMA oleh Faqir, miskin dan digunakan untuk maslahat umum seperti sumbangan warga emas, pembinaan jalanraya, pembersihan dan sebagainya. Itu adalah ijtihad majoriti mazhab silam dan ulama kontemporari. Termasuklah, Majlis Fiqh Antarabangsa OIC, Majlis Fatwa Eropah, Majma Buhuth Mesir[1], Al-Lajnah Al-Daimah, Arab Saudi[2] dan ribuan ulama perseorangan seperti Imam Al-Ghazali, Imam An-Nawawi, Syeikh Al-Qaradawi , Syeikh Az-Zarqa[3], Syeikh Faisal Al-Maulawi dan ramai lagi. Derma bagi wang haram tidak mampu dipulangkan semula kepada tuannya ini hendaklah disedeqahkan kepada orang faqir miskin telah difatwakan harus oleh majoriti mazhab utama Islam ( Hasyiah Ibn ‘Abidin, 6/443 ; Fatawa Ibn Rusyd, 1/632 ; Al-Qawaid, Ibn Rejab, hlm 225 )

PANDANGAN ULAMA MAZHAB

Ulama hanafi menyebut :-
والملك الخبيث سبيله التصدق به, ولو صرف في حاجة نفسه جاز . ثم إن كان غنيا تصدق بمثله

Ertinya : Pemilikan kotor ( haram) jalan keluarnya adalah disedeqahkannya, malah jika pemilik itu seorang faqir), ia bleh mengambil untuk dirinya sendiri, kemudian, jika selepas itu dia menjadi kaya, hendaklah dia mendermakan wang haram (yang pernah diambilnya sewaktu miskin dahulu) ( Al-Ikhtiyar Li Ta'lil al-Mukhtar, 3/61)

Ulama mazhab Maliki seperti Al-Qarafi dan Ad-Dawudi menjelaskan wang haram tidak hanya terhad untuk diberikan kepada faqir dan miskin sahaja tetapi juga apa-apa pembangunan dan kegunaan yang memberi manfaat kepada umum menurut budi bicara dan penilaian pemerintah adil. Jelasnya, mazhab maliki juga setuju faqir, miskin malah warga emas yang memerlukan boleh menerima wang sedemikian tanpa masalah. ( rujuk Al-Dzakhirah, 5/69)

Ulama Mazhab Syafie, Imam An-Nawawi menukilkan kata-kata Imam al-Ghazali yang berkata:
وإذا دفعه - أي المال الحرام- إلى الفقير لا يكون حراماً على الفقير , بل يكون حلالا طيبا
Ertinya : sekiranya wang haram itu diberikan kepada faqir miskin, ia tidaklah haram ke atas faqir ( dan miskin), bahkan ia adalah halal lagi baik untuk mereka. ( Al-Majmu' , 9/428)

Imam A-Ghazzali juga menjawab keraguan beberapa ulama lain :-

وقول القائل: لا نرضى لغيرنا ما لا نرضاه لأنفسنا فهو كذلك ولكنه علينا حرام لاستغنائنا عنه وللفقير حلال إذا حلّه دليل الشرع وإذا اقتضت المصلحة التحليل وجب التحليل
Ertinya : Menjawab kata-kata orang yang berkata : "Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita". Memang benar sebegitu, namun dalam kes wang haram yag dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi faqir, miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syara' yang menghalalkannya dan di ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan. (Ihya Ulumiddin, 2/212)

Syeikh al-Qaradawi ketika membicara hal pengagihan wang haram berkata :

إذن ما دام هو ليس مالكا له, جاز له أخذه والتصدق به على الفقراء والمساكين أو يتبرع به لمشروع خيري
Ertinya : Oleh itu, selagi wang haram (yang dimiliki seseorang itu tidak diiktiraf oleh syaraa' sebagai miliknya), harus bagi pemegang itu untuk ambilnya dan disedeqahkan kepada faqir miskin atau didermakan kepada projek-projek kebaikan (untuk maslahat umum). ( Fatawa Mu'asiroh, 1/606)

RINGKASAN DALIL

Terdapat banyak sekali dalil yang dijadikan sandaran oleh majoriti ulama, terdiri dari hadis-athar, qiyas dan logik aqal. Antara hujjah yang dipegang bagi mengharuskan ‘derma' wang haram yang tidak diketahui tuannya, cukup sekadar memaklumkan beberapa secara ringkas:-

1. Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq r.a pernah bertaruh (di awal Islam) dengan seorang Musyrik (yang mencabar ketepatan Al-Quran dari surah Ar-Rum ayat pertama dan kedua yang mengisyaratkan kejatuhan Rom) iaitu kerajaan Rom akan tewas. Kemudian apabila Rom benar-benar jatuh, Sayyidina Abu Bakar dikira sebagai pemenang dan telah memperolehi harta pertaruhan itu (ianya haram kerana judi dan tujuan Abu Bakar hanyalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran). Apabila Sayyidina Abu Bakar datang kepada Rasulullah s.a.w menceritakan perihal harta perolehan pertaruhan itu, Rasulullah bersabda :
هذا سحت فتصدق به
Ertinya : Ini kotor, sedeqahkan ia. (At-Tirmizi . 16/22 ; At-Tirmizi : Sohih)

Selepas peristiwa ini, barulah turun perintah pengharaman judi secara sepenuhnya sekalipun dengan orang kafir. (Tafsir At-Tabari, 20/16) Kisah ini dengan jelas menunjukkan Nabi tidak mengarahkannya dikembalikan kepada si Kafir, tetapi disedeqahkan untuk tujuan umum dan kebaikan ramai.

2. Selain itu, hujjah utama para ulama dalam hal mendermakan wang haram seperti wang rasuah yang dibawakan oleh Ibn Lutaibah, Nabi meletakkan wang ini di baitul mal dan diagihkan kemudiannya kepada faqir miskin dan kepentingan awam.[4]

3. Terdapat juga athar dari Ibn Mas'ud yang diriwayatkan oleh Al-Bayhaqi 6/188 dan banyak lagi.

KESIMPULAN
  • Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan Negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka (pemberi sumbangan) itu bercampur antara wang halal dan haram. atau dalam kata lainnya, harta mereka masih ada yang neutral dan halal.
  • Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.
  • Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini
  • Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara'. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.
  • Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.
  • Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini.



Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Ahad, 26 September 2010

Isu Gabung Puasa Sunat & Qadha

Oleh:
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/


Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang spesifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.

3. Tindakan A’isyah ra yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka ini lah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana aisyah tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :
كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان
Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya’ban” ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.
Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad ‘Aayish al-’Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW
من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر
Ertinya: “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith
” Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)
Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).
Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan
Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini :
Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Sekian
_________

*Tambahan

  • (Mazhab Syafie)
Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qadha.
Imam as-Syafie di dalam kitab muktabarnya al-Umm ketika mensyarahkan bab 'Innamal a'malu binniat (setiap amalan dengan niat) menyebut hendaklah dibezakan ibadah puasa ramadhan, puasa nazar, puasa kafarat, puasa qadha' dan puasa tatawwu' (sunat).

  •  Imam Jalaluddin as Syuyuti di dalam kitab al Isybah juga berpendapat demikian hendaklah diasingkan puasa Ramadhan, atau nazar atau puasa sunnat.

  • MANAKALA jawapan [Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah, 10/383] dalam masalah ini seperti berikut:

"Alhamdulillah. Tidak ada salahnya berpuasa Isnin-Khamis untuk mengqadha' puasa Ramadhan yang tertinggal, dengan syarat puasa dilakukan dengan niat mengqadha puasa...... Mudah-mudahan (moga2) anda mendapat 2 ganjaran sekali, ganjaran melakukan Qadha' dan ganjaran melakukan puasa sunat, dan fadhilat yang Allah berikan itu luas. Walaupun jika anda hanya mendapat ganjaran mengqadha' puasa, ia adalah memadai, kerana mengqadha' puasa adalah lebih mustahak dari melakukan puasa sunat. Akan tetapi jika kamu berniat melakukan puasa sunat dan tidak berniat melakukan qadha', maka kamu masih belum lagi memenuhi tuntutan kefarduan. Maka masih lagi wajib melakukan qadha' puasa Ramadhan. Wa Allahu 'alam dan selawat dan salam kepada Nabi Muhammad saw dan keluarganya."

 
  • AKAN TETAPI, 
jika terdapat masa yang sangat pendek (takut tertinggal peluang menunaikan puasa 6), berbanding dengan puasa qadha' yang banyak; seperti didalam kes wanita yang panjang haidhnya, dibenarkan melakukan puasa enam hari didalam bulan Syawwal, dan kemudian mengqadha'nya sebelum menjelang Ramadhan yang akan datang. Syeikh Ibn Utsaimin mengatakan ini merupakan pandangan yang lebih kepada kebenaran.

[Sharh al-Mumthi' 6/448].

  • Berkenaan persoalan tentang mestikah puasa enam Syawwal itu BERTURUT-TURUT SELEPAS HARI RAYA ATAU TIDAK? 
Jawapan Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi dalam persoalan ini seperti berikut:
“Tidak semestinya dia berpuasa terus selepas hari raya. Bahkan harus untuk dia memulakan sehari atau beberapa hari selepas hari raya. Samada dia hendak berpuasa bersambungan ataupun berpecah-pecah dalam bulan Syawwal. Ia berdasarkan apa yang mudah baginya. Perkara ini luas (pilihannya)”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah, 10/391).
 Wallahualam.

Khamis, 23 September 2010

Saintis Buktikan Nabi Musa Belah Laut

LAKARAN artis menunjukkan angin kuat dari timur telah menyebabkan air lagun (kiri) dan sungai (kanan) ‘berpusing’ dan membentuk dinding air dekat Laut Merah


BOULDER, Amerika Syarikat (AS) – Saintis-saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil, lapor sebuah akhbar semalam.
Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini, mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik.
Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum Bani Israel terperangkap di antara pasukan tentera Firaun yang sedang mara dan laut di hadapan mereka.

Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.

Kini, dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j) selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.

Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup semalamam ke atas air sedalam beberapa meter itu.

Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.

Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami. Hasil kajian saintis berkenaan disiarkan di Internet oleh Jurnal Public Library of Science ONE. – Agensi

Ahad, 29 Ogos 2010

Dinar Dan Dirham : Satu Penjelasan (1)


Pada 12 Ogos lalu, selepas empat tahun Dinar Kelantan dilancarkan, kerajaan negeri itu memperkenalkan mata wang syariah dinar emas dan dirham perak. Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata adalah menjadi hasratnya untuk melihat Kelantan mempelopori penggunaan mata wang syariah dalam semua urus niaga, termasuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri satu hari nanti.

Bagaimanapun, kata beliau masih banyak soal teknikal yang perlu diatasi oleh kerajaan negeri sebelum dapat melaksanakannya. Dinar emas dan dirham itu dikendalikan oleh Kelantan Gold Trade (KGT) iaitu anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Pada 2006 kerajaan negeri melancarkan Dinar Kelantan dalam tiga bentuk iaitu satu dinar penuh berukuran 23mm dengan berat 4.25 gram bernilai RM332.25.

Selain itu separuh dinar bersaiz 20mm (1.06 gram) bernilai RM176.76) dan suku dinar bersaiz 21mm (0.5 gram) bernilai RM99.38. Dinar tersebut mendapat sambutan menggalakkan untuk simpanan nilai dan mas kahwin. Nik Aziz yang juga Pengerusi PMBK berkata, sehingga ini lebih 1,000 peniaga bersetuju menggunakan emas dinar dan dirham sebagai mata wang alternatif untuk berurus niaga di premis mereka. Selain itu, Tabung Haji dan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) bersetuju menjadi ejen dan menerima mata wang syariah itu untuk berurus niaga.

 KELANTAN DI BURU

Hari pertama dinar emas dan dirham dibuka untuk jualan menyaksikan rakyat Kelantan memenuhi Pusat Pajak Gadai Islam Ar-Rahn di sini bagi mendapatkan mata wang yang diperkenalkan kerajaan negeri ini. Apabila diperhatikan, rata-rata pembeli berhasrat menjadikan dinar dan dirham itu sebagai hiasan diri seperti loket dan juga untuk disimpan sebagai koleksi peribadi.

Seorang pembeli, Zainun Che Aziz, 60, berkata pengeluaran dinar itu adalah trend terbaru emas di pasaran yang perlu dibeli dan harus dimiliki. "Emas ni ikut musim, macam-macam bentuk dan saiz emas keluar di pasaran dan bila keluar emas dinar ni saya rasa mesti beli kerana ia unik dan saya mahu membuat loket untuk diberi kepada cucu saya. Kalau tidak beli rugilah mana tahu tiba-tiba ia tidak dijual lagi," katanya.

Sementara itu, Pengurus Operasi Ar-Rahn Kota Baharu 2, Siti Azian Ibrahim berkata sebanyak 344 keping dirham serta 50 keping dinar dibuka untuk jualan Rabu. "Melihat situasi sebelum ini pada mulanya kita tidak menjangkakan jualan dinar akan mendapat sambutan kerana ramai yang tidak bersetuju dengan penggunaannya dalam urusan seharian. "Tetapi pembukaan jualan mata wang berkenaan di Ar-Rahn hari ini melihat sesuatu yang berbeza apabila rakyat tetap berminat membelinya dan kebanyakan pelanggan berkata mereka mahu menjadikan dinar itu sebagai perhiasan diri seperti loket dan gelang," katanya.

Siti Azian berkata bagi dinar, terdapat lima saiz yang dijual dengan harga berbeza setiap hari mengikut nilai emas semasa dan hari ini harga bagi setengah dinar ialah RM296, satu dinar (RM592), dua dinar (RM1,184), lima dinar (RM2,960) dan lapan dinar (RM4,736). "Manakala bagi nilai dirham pula ialah satu dirham bernilai RM13, dua dirham (RM26), lima dirham (RM65), 10 dirham (RM130) dan 20 dirham (RM260)," katanya.


Beliau berkata bagi dinar, ia dibuat menggunakan emas bernilai tinggi iaitu emas 916 yang diguna untuk membuat barang kemas. "Memang diakui di Kelantan trend membeli emas sentiasa wujud sejak dulu sehingga kini kerana tarikan nilainya yang sentiasa bernilai dan tidak akan turun secara mendadak sehingga merugikan," katanya.

Siti Azian berkata mereka yang berminat untuk membeli dinar itu dan ingin mengetahui harga dari semasa ke semasa boleh layari laman web http://islamicmint.com.my/ atau mengunjungi pusat Ar-Rahn berhampiran, yang dipertanggungjawab menjadi wakil sah jualan dinar dan dirham.

KELANTAN DINAR & DIRHAM

1/2 Dinar :: RM 296                                        1 Dirham :: RM 13  

   1 Dinar :: RM 592                                        2 Dirham :: RM 26
   2 Dinar :: RM 1 184                                     5 Dirham :: RM 65
   5 Dinar :: RM 2 960                                   10 Dirham :: RM 130
   8 Dinar :: RM 4 736                                   20 Dirham :: RM 260

SATU PENJELASAN 

Satu penjelasan yang menarik oleh YB Husam Musa tentang Dinar dan Dirham Kelantan. Beliau menceritakan apa kelebihan Dinar dan Diham. Juga apa kelemahan fulus. Ku Li pula menyokong apa yang telah Husam jelaskan. Katanya nilai Dinar dan Dirham tidak akan luput.

YB Husam Musa



Ku Li



Dr Umar Vadillo - Part 1 


Dr Umar Vadillo - Part 2




Jumaat, 20 Ogos 2010

Maula Ya Salli Wa Sallim


Selasa, 3 Ogos 2010

Haramkah atau perbetulkan ESQ?

Persoalan haramkah atau perlukah diperbetulkan ESQ berbangkit setelah pihak Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Wan Zahidi Wan Teh mewartakan hujahnya dalam bentuk fatwa Mufti Wilayah Persekutuan bahawa kursus ESQ bercanggah dengan ajaran Islam.
Menurut fatwa tersebut, kursus ESQ yang diasaskan oleh Ary Ginanjar Agustian adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariat Islam. Fatwa tersebut telah menguraikannya kepada 10 ajaran yang difatwakan menyeleweng, antaranya adalah mendukung fahaman Islam liberal dan plural agama, mendakwa para Nabi mencapai kebenaran melalui pencarian bukan pilihan Allah, mencampur aduk ajaran Islam dengan Kristian, Yahudi dan amalan kerohanian Hindu, menekankan suara hati sama dengan Hindu, mengutamakan logik, mengingkari mukjizat, menggunakan Kod 19 rekaan Rasyad Khalifah untuk mentafsir al-Quran, menyamakan bacaan 17 kali surah al-Fatihah dengan amalan Bushido menurut agama Buddha, mengiaskan mukjizat Nabi Musa dengan apa yang berlaku kepada seorang juruterbang, dan mentafsirkan kalimah syahadah sebagai “triple one” sama dengan konsep trinity dalam ajaran Kristian.
Kepada umat Islam seluruhnya, hujah Mufti Wilayah Persekutuan itu sudah menjadi satu fatwa bila ia diwartakan pada 17 Jun 2010. Meskipun pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom sudah menghadkan pemakaian fatwa itu untuk Wilayah Persekutuan sahaja (Utusan Malaysia, 9 Julai 2010), namun ia dilihat sebagai kenyataan yang terkeluar daripada konteks amalan keIslaman. Penting dilihat ialah pihak mufti sudah memfatwakan dengan mengemukakan hujah lalu menghukum ESQ haram kerana ada beberapa perkara amalan di dalam ESQ bercanggah dengan Islam.
Sementara ada pihak lain yang belum boleh menerima fatwa tersebut, malah terus menghalalkan ESQ itu dengan pelbagai alasan yang bukan hujah memfatwa. Termasuklah menyandarkan hasil muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang dikatakan berhujah yang tidak mengharamkan. Walau bagaimanapun, majlis itu belum mengeluarkan lagi sebarang fatwa mengenai ESQ itu.
Hujah lawan hujah
Maka di sana masing-masing sudah ada hujah. Justeru jika mahu menolak hujah Mufti Wilayah Persekutan itu, perlulah pihak yang hendak menolak itu menjawab atau memperbetulkan hujah Mufti Wilayah Persekutuan itu. Langkah berlaku adil terhadap fatwa mufti itu amat baik. Dalam kaedah muzakarah pun, apabila berhujah perlu dijawab dengan hujah dan hujah mana yang boleh disepakati menepati ajaran Islam, maka hujah itu diterima sebagai benar.
Dalam kes ESQ, pihak Mufti Wilayah Persekutuan sudah membutirkan 10 hujah yang mempamerkan ESQ bercanggah dengan Islam dan jika ingin menafikan hujah itu, perlulah dijawabkan kesemua 10 hujah tersebut dengan hujah Islam yang lebih sahih dan menepati hukum. Mana yang dinilai bercanggah dan tidak benar tentang ESQ hendaklah diperbetulkan agar selari dengan Islam.
Fatwa mufti mendahului
Malangnya, sehingga kini pihak Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (Jawatankuasa Fatwa MKI) belum bersidang untuk memutuskan fatwa mengenai ESQ. Jawatankuasa itu hanya baru bermuzakarah sahaja. Sedangkan pihak Mufti Wilayah Persekutuan telah mendahuluinya. Kenapa lambat sangat? Mungkin belum cukup kajian dibuat. Sedangkan sebelum ini Panel Kajian Aqidah Jawatankuasa Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dikatakan telah melakukan kajian (antara Ogos 2008 hindaa Februari 2009) dan menyimpulkan ada modul ESQ yang bercanggah dari segi akidah dan syariah. Namun, perkara itu tidak disusuli dengan fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa MKI. Dalam hal ini, nampaknya Mufti Wilayah Persekutuan lebih prihatin dan bersistem dalam menjalankan tugas sehingga mendahului Jawatankuasa Fatwa MKI. Demikianlah mufti itu melaksanakan prinsip tugas didahulukan dan fatwa diutamakan.
Fatwakan di peringkat kebangsaan
Dalam menyelesaikan kekeliruan atau kekaburan serta percanggahan tentang penerimaan kursus motivasi ESQ ini, sebaiknya muzakarah dapat diadakan sekali lagi. Muzakarah itu penting bagi memahami realiti kursus ESQ sebelum difatwakan di peringkat kebangsaan. Setidak-tidaknya dapat memandu masyarakat yang berminat dengan ESQ memahami isu agama sebenar yang tersirat di sebalik kursus yang diikuti nanti. Paling utama, kandungan fatwa Mufti Wilayah Persekutuan itu dapat dijadikan bahan untuk dimuzakarahkan. Berpandukan hujah mufti itu sebagai bahan perbincangan diyakini banyak persoalan dapat dirungkaikan. Paling penting dirungkaikan adalah apa yang tersirat dan tersurat asas Islam di sebalik pendekatan motivasi diri yang memberi makna E (emotion), S (spiritual) dan Q (quotient) atau dipermudahkan sebagai kecerdasan emosi dan spiritual yang kini mencandui segelintir masyarakat yang mencari kesedaran akidah dan akhlak Islam serta kesungguhan diri ke arah terbaik.
Oleh kerana itu, ia tidak padan dengan pengumuman mufti-mufti untuk menjawab semua persoalan yang keliru mengenai pengisian kursus ESQ. Misalnya, Sinar Harian (9 Julai 2101) menyiarkan jawapan Mufti Perak yang menghukumkan motivasi anjuran ESQ Leadership Centre Sdn Bhd (ESQ) tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam selain tidak mempunyai unsur-unsur yang membawa kesesatan dan tidak ada kena mengena dengan fahaman liberalisme dan pluralisme.
Bagaimana pula dengan hujah Mufti Wilayah yang memfatwakan kursus ESQ itu adalah mendukung fahaman liberalisme dan pluralisme-agama. Bukti dengan hujahnya berlaku dalam kursus ESQ amalan mentafsir nas-nas agama secara bebas dan mengajar peserta berfahaman semua agama adalah sama dan benar.
Masyarakat ingin tahu, apakah hujah Mufti Perak lebih menepati hukum berbanding Mufti Wilayah Persekutuan, sedangkan hujah Mufti Wilayah Persekutuan sudah dapat dibaca.
Langkah penyelesaian
Langkah ke arah penyelesaian amat wajar memandangkan alumni atau lepasan kursus ESQ ini sudah puluhan ribu. Berpandukan kenyataan Mufti Selangor (Sinar Harian 12 Julai), pihak berwajib fatwa belum memutuskan apa-apa fatwa, maka sewajarnya Jawatankuasa Fatwa MKI dapat bertindak cepat sebelum kekhilafan menjadi lebih kusut.  Apa yang utama, pihak Jawatankuasa Fatwa MKI itu dapat menjadi penyelesai muktamad sesuai dengan fungsinya ke arah menyelesaikan masalah-masalah keagamaan kini melanda masyarakat Islam yang melalui atau akan melalui kursus ESQ.
Di mana perginya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang diberi tanggungjawab memajukan Islam di negara ini? Seharusnya Jakim bertindak secara produktif dan aktif. Jangan pula Jakim dilihat sebagai agensi pusat yang cepat dalam hal ehwal politik pemerintah seperti isu Wahabi dan Syiah sahaja. Semoga bergandingan baik Jawatankuasa Fatwa MKI dengan Jakim. Perbetulilah mana yang tersilap. Kini isu ESQ sudah kelihatan tersilap, maka perbetulkan demi kemajuan seluruh umat Islam.
Kenapa perlu sangat ESQ
Sebenarnya dalam pokok ajaran Islam telah terkandung nas yang cukup bagi memotivasi diri, alam pekerjaan dan bermualamat dengan persekitaran hidup kita. Justeru apa perlu sangat mengikuti kursus ESQ. Sampai ia semacam fenomena bagi organisasi termasuk sektor awam mengikuti kursus ESQ. Sedangkan Islam yang didatang khusus oleh Allah SWT adalah mencapai makam tertinggi dan paling sempurna dan lengkap di dalam menyantuni seluruh aspek kehidupan manusia.
Tambahan pula ESQ adalah ciptaan manusia yang hanya bertaraf khalifah di bumi, lalu ia terdedah dengan segala macam kerendahan dan kekurangan. Oleh itu, munasbahnya kursus ESQ itu dipersembahkan dengan pelbagai seni pendorong, meskipun memakai nilai-nilai yang bersumberkan bukan dari Islam.
Kaji pengalaman Kelantan
Oleh sebab itu, sewajarnya umat Islam mengetahui dan menyakini bahawa pokok ajaran Islam dalam konteks motivasi diri, kecerdasan dan kerohanian telah ada nilai terasnya, iaitu ubudiah (pengabdian), masuliah (tanggungjawab) dan itqan (cemerlang), ringkasnya UMI. Pihak Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan telah memakmurkan pentadbiran negeri Kelantan berteraskan UMI ini selama 20 tahun dan terbukti menghasilkan natijah yang berintegriti. Maka, penghuraian apa makna sekalipun atas nama Islam yang bertujuan mencari kebaikan dan kehebatan diri mestilah berpandukan kepada prinsip nilai teras UMI ini. Ini kerana teras UMI ini adalah relevan dan mempunyai kekuatan untuk memandu manusia menjalankan apa sahaja urusan dengan Allah SWT, urusan sesama manusia dan dengan alam sejagat.
Sehubungan itu, apabila menelusuri pemikiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz di dalam isu ESQ ini, maka seruan kepada pihak yang begitu kagum dengan kursus ESQ itu (sehingga sanggup mempertahan dan membelanya) sewajarnya diteliti beberapa persoalan untuk dijawab. Antara persoalannya, pertama kenapa kita mudah terpengaruh dengan pendekatan-pendekatan baru, sedangkan ajaran Islam sebagai ad-din telah sempurna. Islam adalah dari Allah Tuhan Yang Maha Pencipta yang bersifat milik hakiki dan kalimah Allah.
Kedua, apa perlu kita fikir dan rumuskan ‘barang’ yang telah ada di dalam Islam, apa hebatnya kursus ESQ itu jika dibandingkan pendekatan Islam yang meletakkan pendorong utama kehidupan adalah pahala/dosa, syurga/neraka, ikhlas/riak/takabur dan iman/kafir/munafik. Bagi insan yang bergelar manusia sebagai khalifah Allah di bumi, bermula akhil-baligh seharusnya telah memilih jurus hidupnya yang memenuhi perintah Allah SWT dan Rasul-Nya. Ini bermakna pilihan tepat adalah mengutamakan iman, berniat ikhlas, mengharapkan syurga Allah dan menjadikan pahala sebagai bekalan menghadapi alam akhirat.
Ketiga, sekiranya kita merasai dengan mengikuti kursus ESQ kita berupaya mencapai kebijaksanaan dan kecemerlangan, apakah kita telah memahami hakikat Islam, iman dan ehsan yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW kepada umatnya. Sedangkan di dalam Islam terlalu banyak ruang untuk kita mencapai kecerdasan rohani dan emosi malah jasmani serta kualiti kerja. Antaranya mengamalkan doa harian, solat fardu, amalan sunat, bersedekah dan seumpamanya yang sukatannya telah dirumus sendiri oleh Nabi Muhammad SAW. Justeru, tidak semestinya kursus ESQ satu-satunya ruang untuk kita mencapai kecerdasan atau ruang untuk kita menunjuk-nunjuk kebijaksanaan.
Keempatnya, apa jaminan ESQ akan membantu kita mencapai rahmat Allah SWT dan syafaat Nabi Muhammad SAW di akhirat kelak. Adakah dengan mengikuti kursus ESQ akan membawa kita ke syurga? Sedangkan, kekeliruan yang timbul sekarang (berikutan persimpangan hujah antara Mufti Wilayah Persekutuan dengan beberapa mufti negeri lain) telah menelanjangkan hakikat ESQ adalah sebenarnya tidak sempurna dari segi akidah dan syariat Islam. Ketidaksempurnaan itu harus diuruskan terlebih dahulu dan sebarang kekeliruan hendaklah diperjelaskan demi memurnikan akidah dan syariat masyarakat Islam. Sesuatu yang sempurna sahaja akan mendapat nilai kasih-sayang dari Allah SWT.
Kelima, realiti di dalam Islam, al-Quran adalah rujukan mutlak dan Nabi Muhammad SAW merupakan ikutan dan idola kepada sekalian umat dan alam semesta. Sesungguhnya al-Quran adalah perlembagaan hidup dan Nabi pula adalah idola terbaik (qudwah hasanah). Mungkin dengan kekeliruan yang ada, ESQ sudah berada pada persimpangan antara al-haq dan al-bathil. Kedudukan tersebut sekaligus menafikan signifikannya kandungan kursus ESQ boleh dijadikan asas rujukan, jauh sama sekali untuk meletakkan pengasasnya A. G. Gustian sebagai idola yang mampu mendekatkan hakikat keinsanan yang selari dengan sukatan al-Quran.
Keenam, apabila menghayati dan menerima pakai kajian Mufti Wilayah Persekutuan berhubung dengan amalan fahaman-fahaman selain Islam, akhirnya umat Islam akan terperangkap dengan kekufuran yang nyata. Dalam kajian mufti tersebut (bertajuk Kertas Gerakan Islam Liberal di Indonesia dan kaitan dengan ESQ, boleh diakses di laman www.muftiwp.gov.my/) yang memetik fatwa Majlis Ulama Indonesia (MUI), pihak MUI telah mengharamkan umat Islam mengikuti faham pluralisme, sekularisme dan liberalisme agama. Bersesuaian pula dengan penemuan mufti tersebut bahawa di dalam ESQ adanya unsur fahaman ini, maka wajarlah asas-asas motivasi diri untuk mencapai kelebihan kerjaya dapat dibuat penilaian semula sehingga suatu penyelesaian atas kekeliruan diketemukan. Ada baiknya kita kembali kepada kaedah Islam berasaskan kandungan al-Quran yang menganjurkan prinsip bekerja berteraskan ubudiah, masuliah dan itqan dijadikan panduan utama.
ESQ perlu permurnian akidah
Akhirnya, jika benar apa yang dihujahkan tentang ESQ itu mengandungi unsur campur aduk yang merosakkan akidah dan syariat Islam, sewajarnya kita mengelak dan menjauhinya. Kepada pihak berkuasa agama Islam terutama Jakim dan jabatan mufti setiap negeri seharusnya mengambil pengajaran daripada pengharaman Pertubuhan al-Arqam suatu masa dahulu. Asas pengharaman itu berpunca daripada amalan tarikat yang berlaku di luar konteks akidah dan syariat apabila mempercayai manusia biasa bakal bangkit semula sebagai nabi dan amal ibadatnya pula bertaksubkan manusia. Demikian pula, seketika dahulu sekitar 1950-an pernah berlaku amalan kerohanian bernama Subuk di Kelantan yang menggunakan pendekatan campur aduk pelbagai kepercayaan turut diharamkan. Begitu pula, sebelum ini (Oktober 2008) amalan Yoga di kalangan umat Islam telah diharamkan kerana ia bukan sahaja salah satu cabang agama Hindu malah di dalamnya ada bacaan yang bercanggah dengan akidah Islam.
Oleh itu, sewajarnya di dalam isu ESQ ini umat Islam hendaklah bertindak secara cermat dari segi penglibatan dan pengamalannya, atau perlu dilakukan pemurniaan isi kandungan kursus itu agar tidak terpalit dengan permasalahan campur aduk akidah yang boleh membawa kepada kesyirikan atau kekufuran.
Wan Nik Wan Yussof,
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan. 

Khamis, 22 Julai 2010

Mutiara Qasidah 3 : " Salamun-Salamun Kamiskil Khitam "

 

سلام سلام كمسك الختام


سَلاَمٌ سلام كَمِسْكِ الْخِتَامِ

Salam dan salam sebagai penutup yang baik

عَلَيْكُمْ أُحَيْبَابَنَا ياكِرَام
Atasmu wahai kekasih-kekasihku yang mulia

ومَنْ ذِكْرُهُمْ أُنْسُنَا فِي الظَّلاَم
Dengan mengingat mereka terdapat ketenteraman

ونُوْرٌ لَنَا بَيْنَ هذا الأَنَام
Dan cahaya bagi kami di antara manusia sejagat

سَكَنْتُمْ فُؤَادِيْ وربِّ العِبَاد
Demi Allah! Engkau bertempat dalam hatiku

وأَنْتُمْ مَرَامِي وأَقْصَى الْمُرَاد
Kamu sekelian adalah maksud dan tujuanku

فَهَلْ تُسْعِدُونِي بِصَفْوِ الْوِدَاد
Tidakkah kau berikan padaku cinta yang suci

وهَلْ تَمْنَحُوْنِي شَرِيْفَ الْمَقَام
Dan tidakkah kau berikan padaku kedudukan yang mulia

أنَا عَبْدُكُمْ يا أُهَيْلَ الْوَفَا
Aku adalah pembantumu wahai orang-orang yang mulia

وفِي قُرْبِكُمْ مَرْهَمِي والشِّفَا
Dekat denganmu adalah ubat dan kesembuhan bagiku

فلاَ تُسْقِمُوْنِي بِطُوْلِي الْجَفَا
Maka janganlah kau sakiti aku dengan berjauhan dariku

ومُنُّوْا بِوَصْلٍ ولَوْ فِي الْمَنَام
Dekatkanlah aku denganmu walau hanya  dalam mimpiku

أَمُوْتُ وأَحْيَا عَلَى حُبِّكُم
Aku mati dan hidup dalam keadaan  mencintaimu

وذُلِّي لَدَيْكُمْ وعِزِّي بِكُمْ
Aku merasa hina dihadapanmu, dan bersamamu aku mulia

ورَاحَاتُ رُوْحِي رَجَا قُرْبِكُمْ
Ketenteraman jiwaku adalah berharap untuk dekat dengamu

وعَزْمِي وقَصْدِيْ إِلَيْكُمْ دَوَام

Azam dan tujuanku sentiasa padamu

فَلاَ عِشْتُ إِنْ كانَ قَلْبِي سَكَنْ
Aku tak akan hidup senang jika hatiku tenteram

إلَى الْبُعْدِ عَنْ أَهْلِهِ والْوَطَن
Dengan berjauhan dari orang-orang yang bersih hati dan tanah air mereka

ومَنْ حُبُّهُمْ فِي الْحَشَا قدْ قَطَن
Atau jauh dari orang-orang yang bertempat dalam lubuk hatiku

وخَامَرَ مِنِّي جَمِيْعَ الِْعظَام
Dan telah bercampur dengan seluruh badanku

إِذَا مَرَّ بِالْقَلْبِ ذِكْرُ الْحَبِيْب
Bila hati terdengar nama orang yang dikasihi

ووَادِي الْعَقِيْقِ وذَاكَ الْكَثِيْب
Dan lembah ‘Aqiq (satu lembah di Madinah) serta negeri itu

يَمِيْلُ كَمَيْلِ الْقَضِيْبِ الرَّطِيْب
Hatiku akan bergerak (kerana senang) sebagaimana dahan pokok yang bergoyang

ويَهْتَزُّ مِنْ شَوْقِهِ والْغَرَام
Dan akan bergetar kerana rindu dan cinta

لإِنْ كَانَ هَذَا فَيَا غُرْبَتِي
Kalaulah aku berjauhan darimu, aku akan merasa terasing

ويَا طُوْلَ حُزْنِي ويَا كُرْبَتِي
Alangkah sedih dan merananya aku

 وَلِيْ حُسْنُ ظَنٍّ بِهِ قُرْبَتِي
Aku memiliki prasangka baik, dari itu aku dapat mendekatimu

بِذُلِّي وحَسْبِيْ بِهِ يَا غُلاَم
Dengan aku merendah dan mengharap wahai tuan

عَسَى اللهُ يَشْفِي غَلِيْلَ الصُّدُوْر
Semoga Allah mengubati hati yang sakit

بِوَصْلِ الْحَبَائِبْ وَفَكِّ الْقُيُوْد
Dengan berdekatan dengan para kekasih, juga dengan melepaskan ikatan

فَرَبِّي رَحِيْمٌ كَرِيْمٌ وَدُوْد
Sungguh Allah Maha Pengasih, Pemurah, Pemberi kasih sayang

يَجُوْدُ عَلَى مَنْ يَشَا بِالْمَرَام
Yang memberi kepada siapa yang di kehendaki-Nya



© Copyright 2009 / 1430H by Mujahid Sufi. Template by : x-template.blogspot.com. - Site Design by HALIM