Sabtu, 13 Mac 2010

SPM: 2 pelajar Maahad Muhammadi dapat 15A

KOTA BAHRU, 11 Mac: Pelajar-pelajar sekolah agama di Kelantan terus mengungguli pencapaian dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 apabila seorang pelajar mendapat 12A+. Pelajar terbabit, Ahmad Harith Zabidi Azhar dari Maahad Muhammadi Lelaki itu juga mendapat 2A dan 1A menjadikan pencapaian keseluruhan 15A. 

Manakala Habibah Hanan Mat Yusof dari Maahad Muhammad Perempuan pula mendapat 10A+ di mana jumlah keseluruhan subjek (15A). Pencapaian bagi kedua-dua sekolah tersebut ialah 100 peratus. Keputusan SPM bagi sekolah bagi Maahad Muhammadi Perempuan diumumkan Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik), Ahmad Robert Abdul Rahim pagi tadi. 

Pengumuman di Maahad Muhammadi Lelaki dilakukan pengetuanya, Azhar Salleh petang ini. Seramai 385 calon menduduki peperiksan SPM di Maahad Muhammadi Perempuan. Daripada jumlah tersebut seorang mendapat 15A, 14A (1), 13A (1), 12A (9), 11A (9), 10A (13) dan 9A (22).  


Di Maahad Muhammadi Lelaki, seramai 359 pelajar menduduki SPM tahun lepas, di mana keputusan keseluruhan tahun ini meningkat. Keputusan tersebut iaitu seorang pelajar mendapat 15A, masing-masing seorang mendapat 14A dan 13A, 12A (5), 11A (10), 10A (14) dan 9A (20).

Sementara itu, Habibah Hanan (gambar) yang juga pelajar terbaik Maahad Muhammadi Perempuan mendedahkan rahsia kejayaannya dengan mengikuti kaedah yang digunakan pelajar yang telah berjaya sebelum ini.

“Biasalah kalau ingin berjaya, kita kena ikutilah jejak langkah mereka yang telah berjaya. Saya mengetahui cara belajar Kak Fatimah, Kak Madihah dan Kak Amalina belajar.

“Saya cuba mengikuti cara mereka dan kalau tidak sesuai saya akan membuat kaedah sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau mengakui, pelajar cemerlang SPM 2008 peringkat negara, Nik Nur Madihah Nik Mohd Kamal sebagai idolanya untuk mencapai kecemerlangan.

Pelajar berasal dari Jalan Bayam, Kota Bharu merupakan anak bongsu daripada 10 beradik. Ayah dan ibunya merupakan pesara guru. Ditanya ke mana akan melanjutkan pengajian selepas ini, beliau memberitahu akan berbincang keluarga dan guru terlebih dahulu.

“Namun saya minati Fizik, tetapi saya tidak mendapat A+. Selain itu saya juga meminati bidang kehakiman. Bagaimanapun keluarga meminta saya menyambung pengajian dalam bidang perubatan,” katanya. Tahun lepas Nik Nur Madihah juga dari Maahad Muhammadi Perempuan muncul pelajar terbaik SPM peringkat kebangsaan apabila mendapat 20A. 

Sumber : http://www.harakahdaily.net/

Hujan Turun Sebaik Nik Aziz Ketuai Solat Sunat Istisqa'

 

KOTA BHARU, 12 Mac – Solat sunat Istisqa’ yang diadakan memohon hujan pagi ini bukan sahaja menakjubkan 2,000 jemaah yang hadir bahkan rakyat negeri ini apabila kerahmatannya langsung terbukti sebaik sahaja solat dimulakan,

Hujan pun mula turun ketika bacaan surah al-Fatihah.

Solat yang dimulakan pada pukul 8.30 pagi ini itu diimamkan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Ia diadakan di Padang Perdana bersebelahan jalan berhadapan dengan Stadium Sultan Mohamad IV, dekat sini.

Hadir sama seluruh kepimpinan kerajaan negeri termasuk exco, Adun dan Ahli Parlimen dari parti Pakatan Rakyat.

Nik Aziz yang ditemui selepas solat sunat tersebut melahirkan rasa syukur tidak terhingganya kerana menganggap doa rakyat Kelantan minta diturunkan hujan itu segera dimakbulkan Allah SWT.

“Syukur, kita sembahyang Istisqa’ hari ini mendapat sambutan baik dan di tengah-tengah sembahyang itu turun hujan.

“Saya sendiri telah didedah oleh Allah dengan air hujan yang pertama semasa sembahyang hari ini sangat-sangat besarlah harapan, mudah-mudahan Allah beri pada kita bahagia di dunia dan akhirat.

“Tiada erti kita bahagia di dunia tetapi akhirat kelak kita masuk neraka. Dengan sebab itu saya berusaha supaya rakyat Kelantan faham bahawa kesusahan yang berlaku atas dunia ini adalah berpunca daripada dosa.

“Ayat-ayat Quran banyak menyebut bala yang menimpa manusia ini adalah berpunca daripada dosa.

“Oleh yang demikian kita kena pakat-pakat (sama-sama) tegur, nasihat, tak kiralah dalam apa jua pun keadaan termasuk politik, ekonomi kerana ini cara Islam, bukan cara demokrasi, bukan cara komunis dan juga sosialis, tapi cara Islam” katanya.

Menjawab soalan sama ada solat hajat dan solat istisqa yang diadakan pagi ini sebagai tradisi negeri Kelantan, beliau berkata “wallahualam. Yang pastinya nabi Muhammad SAW sendiri sembahyang istisqa’ setiap kali berlakunya kemarau”.- TMI






Sumber : http://ruangbicarapriamalaya.blogspot.com/

Jumaat, 5 Mac 2010

DIMANA TANDANYA KASIH ( 1 )

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…
Pada 2 Mac yang lepas, saya sempat menghadiri satu forum perdana maulidir rasul yang diadakan di Auditorium Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN). Di sebabkan ingin melihat dengan lebih dekat seorang tokoh yang sudah lama terpendam dalam hati untuk mengenalinya, maka diri ini terpanggil untuk menghadirkan diri di Auditorium tersebut walaupun dipenuhi dengan pelbagai tugas yang perlu diselesaikan. Beliau merupakan Dr.Zulkifli Bin Muhammad Al-Bakri yang merupakan bekas pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan juga seorang penulis buku yang hebat.  

Salah satu buku keluaran beliau yang sangat saya minati ialah Syarah kepada Kitab Hikam Ibn Athaillah al-Sakandri keluaran telaga biru. Buku ini merupakan salah satu kitab Tasawwuf yang sangat baik untuk bacaan dan panduan kepada anda semua bagi mengubat hati yang terluka dan terpesong daripada ajaran agama yang sebenar. Kata-kata hikmah yang terdapat dalam kitab tersebut cukup memberi kesan kepada hati setiap pembaca yang menghayatinya. Walaupun tidak sempat mengkhatamkan kitab ini semasa belajar di pondok dahulu, akan tetapi sedikit sebanyak input mengenai kitab ini sempat juga diambil sebagai bekalan di dunia kampus pada hari ini.
Forum pada hari itu dihadiri oleh tiga orang ahli panel iaitu Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz, Dr. Zulkifli Bin Muhammad Al-Bakri dan Ustaz Mohd Ajib Bin Ismail yang merupakan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah, Cawangan Kefahaman Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Ketiga-tiga orang ahli panel pada hari itu boleh dikatakan sebagai “mantop” dalam ilmu agama. Perbahasan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga ahli panel juga banyak memberi impak yang positif kepada peserta yang hadir terutamanya kepada staf-staf INSTUN itu sendiri.   

Dalam forum tersebut, diri ini sungguh terkesan kepada setiap kata-kata yang dikeluarkan oleh Dr.Zulkifli. Setiap bait kata-kata yang dilafazkan oleh beliau ibarat pedang yang menusuk hati  yang keras ini. Kata-kata beliau juga dapat membuatkan orang ramai tersentak seketika akibat kehalusan kata-kata yang menusuk jiwa setiap peserta. Walaupun beliau tidak bercakap banyak dalam forum tersebut kerana ingin memberi laluan kepada Dato’ Hasan Din, akan tetapi setiap patah perkataan yang dilafazkan oleh beliau saya rasakan adalah kata-kata dari lubuk hati yang betul-betul bersih daripada sifat-sifat kecelaan. Inilah kualiti sebenar suatu nasihat ataupun ceramah apabila dapat mengusik hati setiap peserta daripada lalai kearah perkara yang lain.  
Setakat inilah saja post pada pagi ini disebabkan masa telah mencemburui dengan perkara yang lain. Walaupun tidak masuk tajuk yang sebenar lagi, di harap dapat menunggu dengan sabar untuk post keluaran yang akan datang.. hehe..selamat malam..

© Copyright 2009 / 1430H by Mujahid Sufi. Template by : x-template.blogspot.com. - Site Design by HALIM