Ahad, 24 Januari 2010

Pondokku Musnah Dalam Kebakaran



PASIR MAS 22 Jan. – Sekolah Pondok Lubuk Tapah, pusat agama dan pendidikan yang tertua di Kelantan musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi ini. Tiga buah blok bangunan sekolah agama itu yang mula digunakan sejak tahun 1931 musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 1.30 pagi.  

Tiga blok bangunan sebuah pusat pengajian pondok yang tertua di Kelantan di Kampung Lubuk Tapah, di sini musnah dalam satu kebakaran pada awal pagi ini.

Menurut seorang saksi kejadian, Hanipa Zakaria, 59, beliau menyedari kebakaran itu kira-kira jam 1.45 pagi ketika hendak masuk tidur.

"Ketika itu saya terdengar bunyi bising di luar rumah dan apabila saya keluar rumah, kelihatan sebahagian satu blok bangunan sudah terbakar," katanya ketika ditemui pemberita.


Hanifa berkata beliau kemudiannya mengejutkan beberapa ahli keluarganya untuk keluar dari rumah yang terletak berhampiran dengan pusat itu.

"Hampir 70 peratus rumah saya turut terbakar, bagaimanapun saya sempat menyelamatkan sebuah kereta," katanya.

Difahamkan ketika kejadian terdapat kira-kira 55 pelajar di pondok tersebut termasuk dari Kemboja.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Adnan Said berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 1.55 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian dan sempat memadamkan api dari memusnahkan bangunan berhampiran.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian keseluruhan dianggarkan bernilai RM785,000 melibatkan bangunan dan kelengkapan serta kitab-kitab agama.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut melawat tempat kejadian itu hari ini. - Bernama 


Pondok berkenaan merupakan pusat pengajian agama yang tertua di Kelantan yang ditubuhkan oleh Allahyarham Tuan Guru Haji Abdul Rahman Che Wan pada tahun 1931.

Bagi yang ingin memberikan sumbangan, bolehlah menghubungi pejabat pondok berkenaan di talian: 09-7905672 atau Saudara Azlan, 014-5064930 

 

1 ulasan:

blueCITY berkata...

salam

semoga dapat bantuan dan cepat2 dapat dibina semula yang baru

takbir!!!!

© Copyright 2009 / 1430H by Mujahid Sufi. Template by : x-template.blogspot.com. - Site Design by HALIM