Jumaat, 5 Mac 2010

DIMANA TANDANYA KASIH ( 1 )

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…
Pada 2 Mac yang lepas, saya sempat menghadiri satu forum perdana maulidir rasul yang diadakan di Auditorium Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN). Di sebabkan ingin melihat dengan lebih dekat seorang tokoh yang sudah lama terpendam dalam hati untuk mengenalinya, maka diri ini terpanggil untuk menghadirkan diri di Auditorium tersebut walaupun dipenuhi dengan pelbagai tugas yang perlu diselesaikan. Beliau merupakan Dr.Zulkifli Bin Muhammad Al-Bakri yang merupakan bekas pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan juga seorang penulis buku yang hebat.  

Salah satu buku keluaran beliau yang sangat saya minati ialah Syarah kepada Kitab Hikam Ibn Athaillah al-Sakandri keluaran telaga biru. Buku ini merupakan salah satu kitab Tasawwuf yang sangat baik untuk bacaan dan panduan kepada anda semua bagi mengubat hati yang terluka dan terpesong daripada ajaran agama yang sebenar. Kata-kata hikmah yang terdapat dalam kitab tersebut cukup memberi kesan kepada hati setiap pembaca yang menghayatinya. Walaupun tidak sempat mengkhatamkan kitab ini semasa belajar di pondok dahulu, akan tetapi sedikit sebanyak input mengenai kitab ini sempat juga diambil sebagai bekalan di dunia kampus pada hari ini.
Forum pada hari itu dihadiri oleh tiga orang ahli panel iaitu Dato’ Abu Hassan Din Al-Hafiz, Dr. Zulkifli Bin Muhammad Al-Bakri dan Ustaz Mohd Ajib Bin Ismail yang merupakan Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah, Cawangan Kefahaman Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Ketiga-tiga orang ahli panel pada hari itu boleh dikatakan sebagai “mantop” dalam ilmu agama. Perbahasan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga ahli panel juga banyak memberi impak yang positif kepada peserta yang hadir terutamanya kepada staf-staf INSTUN itu sendiri.   

Dalam forum tersebut, diri ini sungguh terkesan kepada setiap kata-kata yang dikeluarkan oleh Dr.Zulkifli. Setiap bait kata-kata yang dilafazkan oleh beliau ibarat pedang yang menusuk hati  yang keras ini. Kata-kata beliau juga dapat membuatkan orang ramai tersentak seketika akibat kehalusan kata-kata yang menusuk jiwa setiap peserta. Walaupun beliau tidak bercakap banyak dalam forum tersebut kerana ingin memberi laluan kepada Dato’ Hasan Din, akan tetapi setiap patah perkataan yang dilafazkan oleh beliau saya rasakan adalah kata-kata dari lubuk hati yang betul-betul bersih daripada sifat-sifat kecelaan. Inilah kualiti sebenar suatu nasihat ataupun ceramah apabila dapat mengusik hati setiap peserta daripada lalai kearah perkara yang lain.  
Setakat inilah saja post pada pagi ini disebabkan masa telah mencemburui dengan perkara yang lain. Walaupun tidak masuk tajuk yang sebenar lagi, di harap dapat menunggu dengan sabar untuk post keluaran yang akan datang.. hehe..selamat malam..

0 ulasan:

© Copyright 2009 / 1430H by Mujahid Sufi. Template by : x-template.blogspot.com. - Site Design by HALIM