Sabtu, 5 September 2009

KEPERIBADIAN PARA SAHABAT DARIPADA MADRASAH RASULULLAH

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…

Alhamdulilah segala puji hanyalah bagi Allah tuhan sekelian alam. Pertamanya ana ingin meminta maaf kepada blog ini dan juga kepada beberapa orang yang sudi membaca blog ini,kerana tidak menghiaskan blog ini dengan ilmu-ilmu Allah lagi. kalau mahu cakap tentang sebab, mungkin akan tidak habis dibincangkan. Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah Taala kerana memberi sedikit idea untuk menulis kali ini. Jika kebiasaannya, limpahan idea yang datang disusuli dengan kesibukan menyebabkan tidak sempat untuk ana menulis dan terpaksalah idea itu dikuburkan begitu sahaja.

Jika kita lihat kepada akal fikiran yang waras ini, berapa idea yang kita keluarkan dalam satu hari daripada akal fikiran ini? Ini bergantung kepada tahap kecekapan akal fikiran seseorang individu tersebut dalam menjana idea-idea yang mungkin boleh membawa perubahan keatas dirinya ataupun terkubur pada hari itu juga. Idea yang betul-betul dapat membawa perubahan keatas diri seseorang individu itu ialah idea yang diperolehi dalam memikirkan akan kebesaran Allah Taala.


PERIBADI YANG UNGGUL

Peribadi seseorang Muslim tidak pernah terkenal dan tidak pernah bersinar di kalangan masyarakat manusia kecuali ianya dibina di atas Tauhid keimanan kepada Allah s.w.t. Keperibadian yang tinggi dan mulia ini telah pernah lahir pada suatu kumpulan yang terkenal dengan panggilan Generasi Al Quran Yang Unik (Jillun Qur’anun Farid). Iaitu generasi sahabat awwalun (pertama) yang dididik, diasuh dan dipimpin sendiri oleh baginda Rasulullah s.a.w semasa hayat baginda. Generasi yang menjalani latihan Tauhid dan Keimanan kepada Allah s.w.t dan kepada prinsip-prinsip keimanan yang lain selama lebih kurang 13 tahun secara praktiknya. Generasi yang menjalani proses keimanan yang mentauhidkan Allah s.w.t dalam ertikata yang sebenar-benarnya, memenuhi sifat-sifat Uluhiyyah dan Rububiyyah dan segala sesuatu yang berkaitan dengannya. Generasi yang ada suatu ketika dahulu, ketika menjalani latihan Tauhid telah diazab dengan berbagai azab dan siksaan serta gangguan malah secara bersatu semua tenaga Jahiliyyah bagi menghalang dan menghapuskan Nur Iman sebagai asas pembentukan peribadi yang kian hari semakin bersinar dan meningkat dalam usaha pembentukannya. Itu tidak dapat menyekat kemaraannya. Sebagaimana maksud firman Allah s.w.t :

32. Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) Dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan Yang demikian).


MADRASAH TARBIAH YANG TERBAIK

Dari latihan, didikan serta pimpinan junjungan kita Muhammad s.a.w yang berpandukan wahyu Allah s.w.t, al Quran al Karim sebagai sumber pembentukan, maka terbentuklah keperibadian Muslim pada kumpulan pertama para pemuda Quraisy. Kumpulan yang telah dilatih dan dididik sebagai jiwa tauhid tersebut telah tidak lagi terpengaruh atau dipengaruhi oleh nilai tamakkan dunia. Malah cita-cita memenangi keredhaan Allah s.w.t semata-mata. Mereka menyerah jiwa raga mereka di bawah perintah Rasulullah s.a.w pada hal mereka mengetahui benar bahawa jiwa mereka diancam, hidup mereka tergugat dan mereka akan menghadapi berbagai kesulitan dan kesusahan untuk sampai kepada matlamat tersebut. Tetapi kumpulan yang dididik dan diasuh oleh Rasulullah s.a.w dengan al Quran al Karim ini memahami dan menyakini akan realiti tersebut.

Begitulah Rasulullah s.a.w mengasuh jiwa mereka dengan al Quran al Karim, mendidik hati nurani mereka dengan Iman, mengajak mereka patuh kepada Allah dalam melaksanakan segala kewajipan yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. Dengan didikan demikian maka kian bertambah tinggilah jiwa dan hati mereka, kita bertambah luhurlah akhlak mereka dan kian bertambah bebaslah mereka dari kekuasaan kebendaan dan rintihan hawa nafsu yang menyesatkan dan terpancarlah rasa cintakan Allah s.w.t, Pencipta langit dan bumi serta segala sesuatu yang berada di dalamnya. Hasil dari usaha-usaha Rasulullah s.a.w yang gigih lahirlah peribadi Muslim seperti Abu Bakr as Siddiq yang terkumpul padanya sifat-sifat terpuji. Orang dahulunya tidak pernah menyangka dan tidak pernah disangka akan menjadi orang yang pertama meneruskan amanah Allah s.w.t yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk memimpin manusia ini ke matlamat yang suci murni.


Lahir juga peribadi Muslim seperti ‘Umar al Khattab yang dahulunya mengembala unta bapanya, al Khattab, meskipun padanya terdapat sifat-sifat tegas dan berani tetapi tidak pernah menyediakan tapak untuk meletakkan ke tempat yang tinggi dan tiada siapa yang menyangka dengan pimpinan dan didikan baginda Rasulullah s.a.w tiba-tiba ‘Umar muncul menggemparkan alam ketika itu dengan kepintaran dan ketegasannya serta keberaniannya dapat merobohkan singgahsana Kaisar Romawi. Kemudian dapat menegakkan di atas keruntuhan untuk pemerintahan Islam yang dapat mengatasi Romawi dan Farsi di segi pentadbiran dan peraturan dan ditambah pula dengan sifat-sifat wara’, taqwa, tegas dan adil yang menjadi contoh teladan zaman berzaman. Juga lahir peribadi-peribadi seperti ‘Ali bin Abi Talib, ‘Aisyah, Ibn Mas’ud, Ibn ‘Abbas, Ibn ‘Umar, Zaid bin Thabit, sebagai tokoh-tokoh ulama yang tiada bandingannya dari dahulu hingga sekarang dan mungkin juga di masa akan datang. Mereka ini adalah hasil daripada latihan dan didikan Madrasah Rasulullah s.a.w, maka terpancarlah ilmu pengetahuan daripada tokoh-tokoh tersebut dan kata-kata hikmat lahir daripada mulut-mulut mereka. Mereka bercakap maka seluruh zaman akan terdiam dan mereka berkhutbah maka seluruh zaman menunggu-nunggu untuk merakamnya. Itulah para sahabat yang telah diasuh dan dididik daripada madrasah Rasulullah SAW.

0 ulasan:

© Copyright 2009 / 1430H by Mujahid Sufi. Template by : x-template.blogspot.com. - Site Design by HALIM