Isnin, 7 September 2009

RAMADHAN YANG SAMA, KUALITI YANG BERBEZA


Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani…
Alhamdulilah segala puji hanyalah bagi Allah tuhan sekelian alam. Alhamdulillah, hari ini telah masuk hari ke-17 ramadhan. Pejam celik, pejam celik, ramadhan meninggalkan kita hari demi hari. Bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam, bulan yang padanya diturunkan al-Qur’an, menjadi pengampun bagi dosa-dosa kecil dari Ramadhan yang sebelumnya, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan diikat syaitan-syaitan sehingga kita semua amat bermotivasi untuk beramal ibadah dan melakukan kebajikan. Dalam bulan ini pada sepuluh malam yang terakhir, terdapat satu malam yang lebih baik berbanding bulan yang lain. Sayang sekali, 16 hari Ramadhan telah pergi meninggalkan kita. Bagaimanakah amalan kita kelmarin?? Sudah khatamkah juzuk ke 16 ? Solat tahajjud bagaimana.. Pernah tertinggal ataupun masih istiqamah setiap malam? Solat berjamaah macam mana?Tarawikh berapa rakaat? Sedekah berapa banyak dah?? Dan lain-lain lagi. Itu adalah sedikit pertanyaan yang perlu dimuhasabah dalam diri kita selaku seorang muslim dalam menghadapi bulan ramadhan yang penuh barokah.
Akan tetapi sayang sekali ada sebahagian orang yang merosakkan kemuliaan bulan Ramadhan. Kerosakan yang dimaksudkan adalah mereka yang tidak berpuasa pada siang hari dan mereka yang melakukan aktiviti maksiat pada malam hari. Dan juga mereka yang suka menyampaikan hadis-hadis yang amat lemah lagi palsu berkaitan bulan Ramadhan. 
RAMADHAN DI TANJUNG MUALIM
            Ramadhan kali ini cukup berbeza dengan ramadhan yang sebelumnya. Sudah 3 kali aku menyambut ramadhan di TM ini, akan tetapi ia cukup berbeza suasananya dengan tempatku sendiri. Walaupun amalan yang dilakukan di sini dan dimana-mana tempat adalah lebih kurang sama, akan tetapi kualiti setiap amalan yang kita lakukan itu adalah berbeza. Ini bergantung kepada suasana ataupun biah sesuatu tempat itu dalam meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.
            Jika di hisab semula ramadhan 2 tahun yang lepas semasa berada di tanah gersang ini, aku dapati keadaan tersebut semacam tidak pernah wujud disini (syiar ). Ramadhan hanyalah sekadar lebih kepada makan minum sahaja, akan tetapi kesungguhan dalam melakukan ibadat telah pudar dikalangan masyarakat disini. Akan tetapi, tidaklah dinafikan ada segelintir daripada masyarakat yang betul-betul istiqamah dalam meningkatkan amalan dalam bulan yang mulia ini. Jika dibandingkan dengan Kelantan, suasananya cukup berbeza dan memberi kesan dalam hati setiap jemaah walaupun dikatakan negeri yang mundur, tiada kemudahan dan lain-lain lagi. Dimanakah kualiti sebenar ramadhan yang kita cari??
            Semalam, aku mencari destinasi baru untuk melakukan solat tarawikh. Ternyata pilihanku pada malam itu adalah masjid kuala kubu baru sebagai tempat melakukan ibadat. Walaupun jaraknya dari TM sejauh 22 kilometer, akan tetapi motor burukku itu sanggup meredah halangan dengan kelajuan 100 kilometer per jam selama 20 minit untuk mencari kualiti tarawikh di bumi Allah ini. Ternyata, tekaanku tepat apabila imam yang mengimani masjid tersebut adalah pelajar daripada Darul Quran. Aku juga sempat berjumpa dengan seorang ustaz yang tidak diketahui namanya, akan tetapi aku selalu memanggilnya sebagai ustaz mishary. Ini kerana alunan ayat al-Quran yang dialunkan adalah sama dengan alunan suara Syeikh Misyhary Afasy. Beliau merupakan salah seorang pengkuliah di masjid jamek TM yang mengajarkan kitab sifat 20 pada setiap hari jumaat.
RAMADHAN DI KELANTAN
            Jika di imbas semula pada zaman persekolahan dahulu, Ramadhan pada zaman itulah yang paling menarik dan hebat yang pernah ku lalui. Kehebatannya Cukup memberi kesan ke dalam jiwa ini tatkala berada di bumi Kelantan yang ditunjangi oleh Bandar Kota Bharu dan diselubungi dengan sebuah madrasah yang diberi nama Maahad Muhammadi Lilbanin. Apabila ramadhan tiba, pasti setiap tahun aku akan berada di Kota Bharu. Menikmati suasana Ramadhan yang luar biasa dan bisa menambahkan momentum amalan harian ke tahap maksimum. Mana tidaknya suasana subuh di Masjid Muhammadi dengan ribuan manusia yang memenuhi ruang masjid yang diimankan oleh seorang iman yang suaranya mirip imam Makkah, iaitu Ust Bari bin Abdullah.
            Begitu juga dengan solat tarawikh dan tahajjud di masjid muhammadi yang memberikan kesan yang mendalam dalam hidup ini yang tidak aku akan lupakan akan kenikmatannya sehingga akhir hayat. Begitu juga apabila datangnya sepuluh hari terakhir ramadhan, maka penuhlah masjid tersebut dengan insan- insan yang mengharapkan akan keredhaan ilahi. Aku pun tidak pernah ketinggalan untuk menghabiskan sepuluh malam terakhir di tempat yang penuh barakah itu bersama rakan-rakan seperjuangan yang sekarang ini membawa diri mengikut halatuju masing-masing. Diharapkan ramadhan kali ini, aku sempat untuk beriktikaf disana walaupun satu malam sahaja. 

 
Tarawikh Di Masjid Muhammadi 
            Masih tidak dilupakan saat Ramadhan di Maahad Muhammadi yang pasti berada dalam fatrah peperiksaan setiap kali tibanya ramadhan. Menjalani ibadah puasa disamping bertungkus-lumus bergelumang dengan peperiksaan akhir,, huh..cukup mencabar jiwa yang lemah ini. Begitu juga satu tempat lagi yang begitu meriah apabila datangnya ramadhan iaitu khemah tarawikh di hadapan stadium Muhammad ke-4. Saban tahun, pihak MPKB-BRI akan membuka khemah tersebut bagi kegunaan masyarakat untuk menunaikan solat secara berjamaah. Dan saban tahun juga akan ada imam yang akan di import samaada dari mesir, yaman, dan lain-lain lagi untuk mengimani solat tarawikh disana. 
 
Khemah Tarawikh MPKB-BRI
             Begitulah sedikit kemeriahan ramadhan di  Kelantan yang serba sedikit merupakan pengalaman di zaman remajaku yang banyak memberi inspirasi dan dorongan dalam menbentuk jiwa mudaku untuk mendapatkan keredhaan daripada Allah SWT. Akan tetapi, keimananku ini telah terhakis sedikit demi sedikit apabila menjejakkan kaki di bumi TM ini. Walaupun dahulu aku menolak tawaran untuk belajar di TM ini, akan tetapi aku terpaksa meneruskan perjuangan ini dengan kehendak ibu bapa yang ingin melihat anaknya menjadi seorang guru. Aku redo dengan ketetapan Qada’ dan Qadar daripada Allah SWT, mungkin ada sebab dan musabab disebalik ketetapan itu. 

0 ulasan:

© Copyright 2009 / 1430H by Mujahid Sufi. Template by : x-template.blogspot.com. - Site Design by HALIM